fb fb fb fb fb

Bonnie Bunyau Gustin raih pingat emas Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022

PYEONGTAEK, 18 Jun- Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sekali lagi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila muncul juara pada Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania 2022.

Bonnie berjaya meraih pingat emas bagi kategori 72 kilogram menerusi angkatan terbaiknya seberat 213 kilogram pada percubaan ketiga di Pyeongtaek, Korea Selatan.

Pada percubaan pertama, juara paralimpik Tokyo 2020 itu berjaya melakukan angkatan seberat 203 kilogram diikuti 209 kilogram pada percubaan kedua.

Persaingan antara enam peserta pada kejohanan itu menyaksikan atlet dari China, Hu Peng melakukan angkatan 200 kilogram dan Bekzod Jamilov dengan angkatan 180 kilogram dari Uzbekistan masing-masing meraih perak dan gangsa.

Bonnie sebelum ini meraih emas Kejohanan Powerlifting Dunia 2021 di Tbilisi, Georgia, Disember lalu dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada tahun lalu.

Kejohanan Powerlifting Para Terbuka Asia Oceania merupakan antara kejohanan kelayakan ke Sukan Paralimpik Paris 2024.


(Foto FB World Para Powerlifting)

Media Baharu