ROM, 15 Mei - Bologna menamatkan kemarau 51 tahun tanpa trofi utama selepas menewaskan AC Milan 1-0 pada final Piala Itali, sekali gus mencipta sejarah baharu buat kelab yang kali terakhir merangkul kejuaraan itu pada tahun 1974.
Dan Ndoye muncul wira pasukan dengan jaringan tunggal pada minit ke-53, memberikan Bologna trofi kedua dalam sejarah kejohanan domestik tersebut.
Kejayaan itu turut menjadi trofi pertama buat ketua jurulatih Vincenzo Italiano selepas tewas dalam tiga final bersama Fiorentina, termasuk Piala Itali 2023.
“Kami menang untuk diri sendiri, untuk bandar dan penyokong. Kami lakukan segalanya dengan betul dan bermain sebagai satu pasukan,” kata Ndoye..
Italiano pula disambut meriah pemain dan penyokong Bologna yang menangis kegembiraan di Stadio Olimpico. Beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai penutup musim yang luar biasa dan hadiah terbaik buat penyokong setia mereka.
Sebaliknya, Milan terus tenggelam dalam musim penuh kehampaan. Kali terakhir mereka menjulang Piala Itali adalah pada 2003, tahun yang sama mereka bergelar juara Eropah.
Kini, mereka sekadar bersaing untuk kelayakan Eropah dan berada di tempat kelapan Serie A, tiga mata di belakang Roma.