KUALA LUMPUR, 15 Mei - Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin teruja menyertai Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan dari 27 hingga 31 Mei ini, namun enggan meletakkan sebarang sasaran.
Menurut Irfan, 29, persiapannya berjalan lancar dan kini memberi tumpuan penuh kepada aspek teknikal dan ledakan balingan.
“Buat masa ini, tiada perubahan besar dalam latihan. Saya kekal dengan rutin sedia ada, hanya fokus pada teknik dan kuasa balingan.
“Moga tiada kecederaan menjelang kejohanan nanti,” katanya menerusi video yang dikongsi Olahraga Malaysia.
Berkenaan sasaran, Irfan enggan memberi tekanan kepada diri sendiri, sebaliknya mahu menikmati persaingan dan beraksi sepenuh hati.
“Harapan saya hanyalah untuk memberikan 110 peratus dan buat yang terbaik demi negara,” ujarnya.
Pada edisi 2023 di Bangkok, Irfan meraih gangsa dengan lontaran sejauh 59.63 meter, satu-satunya pingat kontinjen negara ketika itu. Pencapaian terbaiknya di ATF ialah pingat perak dengan balingan 60.96m di Bhubaneswar, India pada 2017.- BERNAMA