fb fb fb fb fb

128 pemain sertai Sirkit golf Piala Sultan Pahang 2025

Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar berkenan merasmikan Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan 2025 di MGCC, Kuantan

KUANTAN, 15 Mei - Seramai 128 pemain golf amatur berusia 17 hingga 75 tahun dari Pahang bakal beraksi dalam Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang ke-66.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana kejohanan, Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif, memaklumkan kejohanan akan berlangsung di empat lokasi berasingan di negeri itu.

Kejohanan pembukaan dijadualkan berlangsung di Mahkota Golf and Country Club (MGCC) Kuantan pada 1 Jun, diikuti pusingan kedua di Villea Rompin Resort and Golf pada 29 Jun, dan pusingan ketiga di Kelab Golf Diraja Pekan pada 13 Julai. Kejohanan penutup akan diadakan di Kelab Golf Diraja Pahang, Kuantan pada 3 Ogos.

“Kelainannya mudah, kejohanan ini berbeza kerana ia tidak tertumpu kepada satu lokasi sahaja. Pemain akan mengumpul mata keseluruhan dari keempat-empat venue. Setiap venue ada hadiah tersendiri, namun hadiah utama keseluruhan akan diberikan berdasarkan jumlah mata terkumpul” Beliau berkata demikian selepas perasmian Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan 2025 yang disempurnakan Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar di MGCC, Kuantan.

Kejohanan ini menjadi platform inklusif untuk menggalakkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, selari dengan hasrat mewujudkan legasi kejohanan golf persahabatan diraja yang memperkukuh semangat sukan, institusi diraja, dan perpaduan rakyat.

Sebanyak 64 hadiah mewah disediakan termasuk tawaran menarik untuk ‘Hole-In-One’ di setiap venue berupa sebuah motosikal dan sebuah kereta.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI