fb fb fb fb fb

Tenis terbuka Itali, Musetti singkir juara bertahan, Alcaraz buru gelaran ketiga

Lorenzo Musetti (kiri), Carlos Alcaraz (kanan) - Foto AFP

ROM, 15 Mei – Bintang tuan rumah, Lorenzo Musetti menerima sorakan gemuruh penyokong di Stadio Nicola Pietrangeli selepas menyingkirkan juara bertahan, Alexander Zverev untuk mara ke separuh akhir Terbuka Itali.

Pemain nombor dua dunia itu tewas 6-7(1), 4-6 meskipun berjaya memecah servis Musetti pada kedudukan 5-5 dan mendahului 40-0 dalam servis berikutnya, sekali gus hampir menamatkan set pertama.

Namun, Musetti bangkit menyelamatkan empat mata set sebelum memenangi tie-break 7-1 di hadapan penonton yang bersorak hebat.

Zverev kekal tenang walaupun berselisih faham dengan pengadil, namun Musetti merebut peluang pada kedudukan 4-4 dalam set kedua menerusi pukulan backhand menarik untuk memperoleh mata break sebelum menamatkan perlawanan.

Musetti dijadual bertemu pilihan ketiga dari Sepanyol, Carlos Alcaraz, di separuh akhir.

Terdahulu, Alcaraz menewaskan Jack Draper 6-4, 6-4 dalam aksi suku akhir.

Pemain nombor tiga dunia itu menyifatkan aksi tersebut sebagai antara persembahan terbaiknya musim ini, menjelang pertemuan semula dengan Musetti yang pernah ditewaskannya di Monte Carlo bulan lalu.

Kemenangan itu turut mengekalkan peluang Alcaraz memburu gelaran ketiganya musim ini.

"Saya hilang fokus seketika pada set kedua, tetapi tidak terlalu lama. Secara keseluruhan, ini mungkin salah satu perlawanan paling lengkap saya tahun ini," kata juara Grand Slam empat kali yang memburu kejuaraan sulungnya di Rom.

Draper, pilihan kelima, bermula cemerlang apabila mendahului dua permainan awal, namun Alcaraz bangkit dengan dua break untuk memenangi set pertama dan memastikan kemenangan menerusi satu lagi break pada kedudukan 4-4 dalam set kedua.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI