BIRMINGHAM, 29 Julai- Atlet berpengalaman Siti Zalina Ahmad tidak berdepan masalah mencatat dua kemenangan mudah pada hari pertama acara boling padang Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Victoria Park, Leamington Spa hari ini.
Atlet berusia 43 tahun itu bermula cemerlang dalam aksi pertama acara perseorangan wanita selepas menewaskan lawannya Olivia Eunice Buckingham dari Kepulauan Niue 21-7.
Rentak kemenangan diteruskan pada perlawanan kedua walaupun Siti Zalina pada awalnya mendapat tentangan sengit daripada Amy Pharaoh dari England sebelum menoktahkan kemenangan 21-11.
Siti Zalina bakal berdepan wakil Singapura Shermeen Lim dalam aksi terakhir esok, melengkap format round robin untuk memburu slot ke suku akhir.
“Alhamdulillah, hari ini sapu bersih dua perlawanan supaya esok apabila menang perlawanan ketiga, dah pasti ke suku akhir,” katanya.
(Siti Zalina cemerlang dalam aksi pertama acara perseorangan wanita menewaskan lawannya
Olivia Eunice Buckingham dari Kepulauan Niue, 21-7/ BERNAMA)
Sebagai rekod, Siti Zalina muncul pemenang pingat emas acara perseorangan pada edisi di Melbourne, Australia pada 2006.
Beliau juga pernah bertanding pada edisi 2002 di Manchester dan New Delhi 2010.
Siti Zalina yang mengungguli acara berpasangan bersama Emma Firyana Saroji pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia akan turun mempertahankan pingat emas dimenanginya itu pada temasya kali ini.- BERNAMA