fb fb fb fb fb

Bielsa malu La Celeste dibelasah AS, 5-1

FOTO REUTERS

FLORIDA, 21 November - Pengurus Uruguay, Marcelo Bielsa, mengakui berasa malu susulan kekalahan 5-1 kepada Amerika Syarikat dalam aksi persahabatan pada Rabu, namun berusaha meredakan kebimbangan menjelang Piala Dunia tahun hadapan.

Bielsa mendedahkan telah berbincang panjang dengan Pengarah Sukan Uruguay, Jorge Giordano, serta Presiden Persekutuan Bolasepak Uruguay, Ignacio Alonso, berhubung kekalahan tersebut yang berlaku ketika menentang skuad Amerika Syarikat yang turun dengan barisan kurang lengkap di Tampa, Florida pada Selasa.

“Kecenderungan saya mengadakan sidang media selepas tewas 5-1 kepada Amerika Syarikat timbul kerana saya perlu memberi penjelasan, khususnya selepas kekalahan sebesar itu yang sudah tentu menimbulkan kegusaran,” kata pengendali kelahiran Argentina itu.

“Kalah 5-1 bukanlah sesuatu yang boleh diketepikan begitu sahaja. Ada istilah yang biasanya disimpan untuk diri sendiri, namun rasa malu itu tetap hadir apabila keputusan seperti ini berlaku.”

Bekas pengurus Leeds United itu menegaskan dirinya masih menerima sokongan penuh daripada pihak persekutuan ketika mereka meneruskan persiapan menuju Piala Dunia 2026 di Amerika Utara.

“Daripada perbualan itu, saya berbincang berjam-jam dengan presiden dan Jorge. Kesimpulannya ialah projek ini akan diteruskan seperti yang dirancang sehingga Piala Dunia,” katanya.

“Itu ringkasan dan kesimpulan akhir perbualan bersama presiden, dan saya sampaikan semula perkara itu sebagaimana ia diputuskan.”

Uruguay, juara dua kali Piala Dunia, layak ke edisi 2026 pada September lalu selepas menamatkan saingan kelayakan zon Amerika Selatan di tangga keempat.

Piala Dunia 2026 bakal berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE