fb fb fb fb fb

Biar sama-sama putih mata, Ghana puas sekat kemaraan Uruguay

(Pertahanan Ghana, Daniel Amartey (kiri) menyekat pergerakan penyerang Uruguay, Darwin Nunez
pada aksi terakhir Kumpulan H di Stadium Al-Janoub/FOTO IHSAN FIFA)

DOHA, 3 Disember- Pemain pertahanan tengah Ghana, Daniel Amartey mengakui pasukannya sememangnya bertekad menghalang Uruguay mara ke peringkat 16 terbaik Piala Dunia sekiranya mereka juga gagal berbuat demikian.

'Perang dingin' antara dua negara itu bermula 12 tahun lalu susulan insiden Luis Suarez yang menghalang jaringan Ghana menggunakan tangan namun membantu Uruguay mara ke separuh akhir Piala Dunia di Afrika Selatan.

Suarez dilayangkan kad merah namun Asamoah Gyan gagal menyempurnakan penalti dan penentuan menerusi sepakan penalti itu dimenangi Uruguay sekali gus menafikan peluang Ghana menjadi negara Afrika pertama mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Dengan Ghana turut mengejar dua gol untuk layak sementara Uruguay memerlukan satu lagi gol, perlawanan terbabit bertambah menarik dalam 20 minit terakhir.

"Saya katakan pada rakan sepasukan yang kita perlukan gol tetapi mereka juga perlukan satu lagi gol.

(Pemain Ghana pada perlawanan menentang Uruguay/FOTO IHSAN FIFA)

"Jadi, kami bertahan sehabis mungkin supaya jika kami tidak dapat mara ke pusingan 16 terbaik mereka pun tidak dapat bolos," kata Amartey.

Ketika ditanya sama ada penting untuk menafikan peluang Uruguay mara ke pusingan kalah mati, Amartey berkata, " bagi saya, ya".

"Ia aksi yang sukar kerana anda boleh lihat semua pemain termasuk pertahanan mereka naik ke atas.

"Uruguay mahukan satu lagi gol dan anda lihat kami bertahan menentang empat lawan lima atau tiga lawan dua tetapi kami berjaya bertahan dengan baik," katanya. -AFP

Media Baharu