SERDANG, 20 Jun-Juara dunia besbol wanita empat kali, Ayako Rokkaku dari Jepun, berkongsi kepakaran dalam kursus kejurulatihan intensif selama empat hari bagi memperkasa pembangunan sukan besbol di Malaysia.
Program berkenaan memberi fokus kepada penguasaan asas serta kemahiran teknikal besbol dengan pendekatan latihan moden.
Pada program itu, Ayako turut menekankan aspek permainan sebenar di padang, kemahiran menangkap bola, strategi pukulan dan teknik sebagai pitcher.
Presiden BFM, Sazali Husain, berkata penganjuran kursus berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif mempertingkat mutu kejurulatihan tempatan melalui pendedahan kepada standard antarabangsa.
“Ayako mempunyai empat gelaran Piala Dunia dan tiga kejuaraan Baseball5. Jadi kami yakin pengalaman dan kepakaran beliau akan membantu melonjakkan kualiti jurulatih kita,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta kursus,Mohd Athoillah Mohd Isa menyambut baik pendekatan yang dilakukan Ayako yang dianggap sistematik dan menyeluruh.
“Dia ajar kami daripada asas sehinggalah ke tahap profesional. Tunjuk cara satu persatu secara berperingkat. Memang sangat bagus," ujarnya.
Dalam pada itu, Muhammad Redha Musa, yang merupakan guru di SK Laksian Banggi, menyifatkan sesi latihan bersama Ayako sebagai sangat berkesan dan mudah difahami.
“Kemahiran yang ditunjukkan sangat mantap dan kami semua dapat faham serta menerima dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas sesi praktikal.
BFM merancang untuk menganjurkan kursus lanjutan tahap dua dan tiga dalam masa terdekat dengan lebih banyak penyertaan jurulatih dari luar negara sebagai usaha berterusan memperkasa pembangunan besbol tanah air.
Sebelum ini, bekas pemain besbol Jepun, Tsuyoshi Nishioka, turut mengadakan klinik besbol di Kuala Lumpur pada Mac 2025 sebagai sebahagian usaha membangunkan bakat di Malaysia.