fb fb fb fb fb

Amaran

PenggunaJ: :_load: Tidak dapat memuatkan pengguna dengan ID: 381

Berdepan JDT, Perak enggan kibar 'bendera putih' - Yusri

(Pasukan Perak FC/FOTO Perak FC)

IPOH, 4 Oktober - Perak FC tidak akan sesekali mengangkat ‘bendera putih’, sebaliknya melaungkan tekad untuk mencipta kemenangan penting dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia berdepan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, 19 Okt ini.

Pengendalinya Yusri Che Lah berkata walaupun maklum mengenai kekuatan dimilik skuad Harimau Selatan yang serba lengkap, namun tidak mustahil untuk The Bos Gaurus mencipta kejutan dengan kekal fokus dan bermain bermati-matian pada pertemuan itu nanti.

“Umum telah maklum tentang kekuatan JDT. Perkara itu tidak perlu saya ungkapkan namun daripada sudut pemain Perak sendiri, saya fikir semangat dan keazaman untuk menang itu perlu disemat dalam diri masing-masing.

“Sepanjang 90 minit permainan apa sahaja boleh berlaku dan saya fikir para pemain juga jangan terlalu menghormati pasukan lawan. Peluang beraksi di gelanggang sendiri harus digunakan sebaiknya untuk mencipta kemenangan,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sebelum ini, juara Piala Malaysia edisi 2018 itu telah melakukan kejutan besar apabila mengatasi Sabah 1-0 dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak pada 25 Sept lepas.

Jaringan tunggal Wan Zack Haikal dalam masa kecederaan babak pertama sudah memadai bagi menempah slot ke separuh akhir dengan agregat 3-2.

Selain itu, Yusri turut mengharapkan ribuan penyokong The Bos Gaurus dapat hadir ke stadium untuk memberikan sokongan sekali gus dapat membakar semangat para pemain dalam memburu kemenangan berharga.

“Penyokong merupakan pemain ke-12 yang memberi tonik tambahan kepada pemain atas padang dan saya fikir dengan keberadaan mereka (penyokong) ia akan menambah rencah untuk kita melakar kemenangan,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata semua pemain termasuk tonggak import bebas daripada sebarang kecederaan serta penggantungan, dan sudah bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan berkenaan.

“Semua dalam ‘mood’ terbaik sama ada dari sudut mental dan fizikal. Cuma saya mungkin akan terapkan beberapa perkara yang boleh ditambah baik untuk memastikan kita dapat menyaingi persembahan JDT nanti,” katanya. - BERNAMA