ANTWERP, 4 Oktober- Daiki Hashimoto muncul wira Jepun selepas menyempurnakan rutin terkhirnya untuk memastikan negara matahari terbit itu merangkul semula gelaran dunia gimnastik berpasukan pada Selasa pada aksi yang berlangsung di Antwerp, Belgium.
Kejayaan itu diibaratkan sebagai laungan amaran awal kepada negara-negara seteru kurang daripada 10 bulan menjelang Sukan Olimpik Paris.
Jepun, pemenang pingat perak tahun lalu, memperoleh 255.594 mata untuk berkelebihan 1.80 mata di hadapan juara bertahan China.
“Saya telah beraksi dalam acara berpasukan sejak 2019, tetapi hanya mendapat pingat perak dan gangsa,” kata Hashimoto. "Akhirnya, saya mendapat pingat emas, pingat yang saya sangat inginkan. Saya sangat gembira."
Amerika Syarikat menamatkan podium dengan 252.428 mata. Great Britain berada di tempat keempat pada 249.461.
Jepun, yang telah mendominasi kelayakan pada hari Ahad, merangkul kejuaraan pasukan buat kali ketujuh.
Hashimoto, juara all-around dan palang tunggal Olimpik dua tahun lalu di Tokyo, dan rakan sepasukannya menjulang mahkota dunia pertama Jepun sejak 2015. Mereka telah menamatkan podium dalam tiga kejohanan dunia selepas itu.
Pertandingan diteruskan pada hari Rabu dengan menyaksikan pasukan wanita terbaik sluruh dunia beraksi di mana Simone Biles, gimnas sensasi dari Amerika kembali selepas berehat selama dua tahun.- AFP