KUALA LUMPUR, 26 Mac- Malaysia gagal melunaskan dendam kekalahan di Muscat selepas tewas 0-2 kepada Oman pada perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini.
Kekalahan kedua dicatat skuad Harimau Malaya bimbingan Kim Pan Gon itu selepas kecundang 0-2 di tangan Oman minggu lalu menyukarkan misi Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027 lebih awal dan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
Omer Al Malki menjaringkan gol pembukaan Oman selepas penyerang itu menyempurnakan sepakan penalti pada penghujung separuh masa pertama sebelum pemain simpanan Mohammed Mubarak Al-Ghafri melengkapkan kemenangan Red Warriors pada masa tambahan babak kedua perlawanan.
Pada aksi malam ini, Pan Gon membuat tiga pertukaran dalam kesebelasan utama yang tewas di Muscat dalam misi mengutip sekurang-kurangnya satu mata dengan menurunkan pemain pertahanan kanan Muhammad Azam Azmi Murad, pemain tengah Mohamed Syamer Kutty Abba dan penyerang Darren Lok.
Sementara Oman yang berkeyakinan membawa pulang kemenangan mengekalkan kesebelasan utama yang hampir sama apabila hanya membuat satu pertukaran dengan ketua jurulatihnya Jaroslav Silhavy menurunkan penyerang Jameel Al Yahmadi.
Malaysia mempunyai peluang keemasan untuk mendahului seawal minit pertama apabila pemain sayap Arif Aiman Mohd Hanapi merampas bola daripada ketua pasukan Oman, Mohammed Al Musalami dan belari ke dalam kotak penalti, namun rembatannya terkena kaki penjaga gol Ibrahim Al Mukhaini.
Giliran Oman terlepas dua peluang terbaik dari jarak dekat selepas rembatan Jameel Al Yahmadi tersasar ke sebelah kiri gawang pada minit kesembilan sebelum tendangan deras Omer tepat ke dada penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed pada minit ke-18.
Ketika perlawanan sedang rancak, Muhammad Azam terpaksa diusung keluar pada minit ke-25 selepas mengalami kecederaan ketika cuba merampas bola daripada pemain lawan dan digantikan dengan Daniel Ting.
Gawang negara cemas pada minit ke-35 apabila Muhsen Saleh Al Ghassani menerima hantaran Jameel tatkala ketua pasukan Dion Cools terjatuh ketika sedang mengejar, namun Ahmad Syihan bertindak pantas menutup ruang untuk menidakkan gol pertama Oman.
Ahmad Syihan kemudian melakukan tampanan penting apabila menyelamatkan rembatan Salaah Al Yahyaeitry pada minit ke-42 diikuti rembatan susulan Muhsen yang melambung tinggi sebelum menolak keluar bola tandukan Muhsen pada minit ke-44.
Namun penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menjadi punca gol pertama pasukan ranking dunia ke-80 itu selepas beliau menjatuhkan Muhsen dalam kotak penalti pada masa tambahan separuh masa pertama dan Omer dengan tenang menyudahkan sepakan untuk meletakkan pasukan 1-0 di depan.
Gawang Malaysia nyaris dibolosi buat kali kedua apabila rembatan leret dari luar kotak penalti Salaah hanya singgah di tiang pada minit ke-52 sebelum perlawanan bertukar menjadi sedikit tegang memasuki 30 minit terakhir permainan.
Barisan pemain negara berjaya mengawal emosi dan mengubah rentak permainan menjadi lebih positif dalam usaha memburu gol penyamaan, namun bergelut untuk membuat hantaran tepat di dalam kotak penalti sementara Oman terlepas dua peluang melebarkan kedudukan di hujung perlawanan.
Bagaimanapun, kealpaan benteng pertahanan negara membawa padah selepas Mohammed Mubarak yang tidak dikawal tenang menolak bola hantaran Abdullah Fawaz untuk menjaringkan gol kedua Oman pada masa tambahan separuh masa kedua.
Kekalahan ini menyaksikan Malaysia kekal di kedudukan ketiga Kumpulan D dengan mengumpul enam mata manakala Kyrgyzstan yang mengatasi Taiwan 5-1 pada satu lagi aksi malam ini, kekal di posisi teratas selepas mengumpul sembilan mata diikuti Oman kedua yang turut mengumpul sembilan mata sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.
Selepas ini, anak buah Pan Gon akan bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada 6 Jun dan menamatkan saingan kumpulan D menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.- BERNAMA
FOTO Facebook Football Association Malaysia