MELBOURNE, 13 Januari- Bekas juara Wimbledon, Marketa Vondrousova, menarik diri daripada Terbuka Australia pada Isnin selepas gagal pulih daripada kecederaan yang dialaminya di Adelaide International.
Pemain dari Republik Czech itu baru kembali beraksi tahun ini selepas enam bulan berehat akibat pembedahan bahu, yang menyebabkan rankingnya jatuh ke tangga ke-38 dunia.
“Hati saya hancur kerana terpaksa menarik diri daripada Terbuka Australia akibat kecederaan yang saya alami di Adelaide,” kata bekas pemain nombor enam dunia itu, yang memenangi Wimbledon pada 2023, di Instagram.
“Saya amat menantikan kejohanan ini tetapi kesihatan adalah keutamaan.”
Dia sepatutnya berdepan pemain Croatia, Jana Fett, pada pusingan pertama, dengan tempat Vondrousova akan diambil oleh pemain ‘lucky loser’.
Vondrousova tidak menyatakan apakah kecederaan terbaharunya, tetapi dia meninggalkan gelanggang di Adelaide ketika menentang Diana Shnaider akibat masalah yang kelihatan seperti kecederaan belakang.- AFP