KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Pembangunan sukan negara terus diperhebat dengan peruntukan lebih RM230 juta.
Dana itu melibatkan program podium, latihan atlet dan Road to Gold (RTG) dan persiapan atlet Para menjelang sukan Para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.
Selain itu, kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara serta geran padanan sukan.
Sementara itu, bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak, RM15 juta disediakan kepada skuad Harimau Malaya termasuk bawah 18 dan 13 tahun.
"Dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan terbaik serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain," kata Anwar.
Datuk Seri Anwar turut mengumumkan peruntukan RM1 juta terhadap pembangunan sukan kriket di Malaysia.
Dalam pada itu, RM20 juta disediakan kerajaan untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan.
"Kerajaan mencadangkan pengecualian cukai pendapatan diberikan ke atas ganjaran hadiah wang tunai kemenangan sukan yang diterima oleh pemenang atlet individu dan pasukan melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan yang diberikan oleh Kerajaan melalui Majlis Sukan Negara (MSN)," tambah Anwar.