fb fb fb fb fb

Bekas pemain bola sepak Rusia, Aleksei Bugayev terbunuh dalam perang di Ukraine

Bekas pemain bola sepak Rusia, Aleksei Bugayev dilaporkan terbunuh dalam perang di Ukraine / Foto REUTERS

MOSCOW, 31 Disember - Bekas pemain bola sepak kebangsaan Rusia, Aleksei Bugayev,  yang pernah beraksi di Euro 2004, dilaporkan terbunuh dalam perang di Ukraine, menurut media Rusia pada Ahad.

"Malangnya, berita tentang kematian Aleksei adalah benar.

"Ia berlaku hari ini," kata bapanya, Ivan Bugayev, kepada agensi berita TASS yang memetik laporan Sport24.

Ejen Bugayev, Anton Smirnov, memberitahu agensi berita RIA bahawa pertempuran sengit menghalang usaha untuk membawa pulang mayat Bugayev bagi urusan pengebumian.

Bugayev, yang meninggal dunia pada usia 43 tahun, pernah bermain dalam dua perlawanan untuk pasukan kebangsaan Rusia semasa Kejohanan Eropah 2004.

Beliau juga beraksi untuk kelab Moscow seperti Torpedo dan Lokomotiv, serta beberapa kelab wilayah lain sebelum menamatkan kerjayanya pada 2010 ketika berusia 29 tahun.

Pada September lalu, Bugayev dijatuhkan hukuman penjara sembilan setengah tahun oleh mahkamah di selatan Rusia atas tuduhan pengedaran dadah.

Bagaimanapun, beliau kemudian menyatakan hasrat untuk menyertai perang di Ukraine.

Pihak berkuasa Rusia aktif merekrut banduan untuk terlibat.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD