fb fb fb fb fb

Barcelona tumpaskan Cadiz 2-0 pada minit akhir, impak Gundogan

FOTO AFP

BARCELONA, 20 Ogos- Jaringan lewat Pedri dan Ferran Torres memastikan kemenangan, 2-0 Barcelona ke atas Cadiz dalam aksi kompetitif pertama di laman sendiri, awal pagi tadi.

Perlawanan berlangsung di stadium Olimpik di bukit Montjuic selepas stadium utama mereka, Nou Camp sedang dinaik taraf dan mengambil masa selama satu tahun setengah untuk disiapkan.

Kehadiran tonggak baharu, İlkay Gündoğan dari Manchester City nyata membantu skuad Catalonia dalam memecah kebuntuan jaringan selama hampir 80 minit.

Hantaran pendek Gundogan disudahkan Pedri menjelang minit ke-80 disusuli gol kedua Ferran Torres pada masa kecederaan.

Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez akui keputusan mendapatkan Gundogan adalah betul sekali gus memberikan impak kepada kelab.

"Itulah sebabnya kami menandatangani Gundogan, dia membuat perbezaan dengan bola terakhir."

"Saya gembira, cukup berpuas hati dengan kerja pasukan dan permainan kedudukan mereka juga, saya fikir ia adalah kemenangan yang benar-benar layak," kata Xavi Hernandez.


(FOTO AFP)

Perlawanan pertama musim baharu 2023/24 menyaksikan Barcelona diikat Getafe seri 0-0, 14 Ogos lalu.

Aksi itu turut kelihatan dua layangan kad merah diberikan kepada kedua pasukan membabitkan Raphinha dan Jaime Mata.

Skuad Catalan akan berkunjung ke stadium El Madrigal untuk pertemuan La Liga seterusnya, berdepan Villareal 27 Ogos ini.

Sementara itu, skuad Atletico Madrid hanya mencatatkan keputusan seri 0-0 berdepan Real Betis juga dalam aksi awal pagi tadi.- AFP

Media Baharu