fb fb fb fb fb

Barcelona nekad bangkit kuasai bola sepak Eropah musim depan

 (Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez (kiri) dan penjaga gol Marc-Andre ter Stegen bercakap di Sydney/AFP)

SYDNEY, 24 Mei - Pengurus Barcelona, Xavi Hernandez akui pasukan bimbingannya mesti dibina semula selepas musim yang mengecewakan, tetapi enggan menyentuh mengenai spekulasi tentang perpindahan penyerang prolifik, Robert Lewandowski ke kelab gergasi Catalan itu.

Barca menamatkan saingan musim ini 13 mata di belakang juara La Liga Sepanyol, Real Madrid, selepas tewas 0-2 di tempat sendiri kepada Villarreal.

Barcelona juga kalah dalam empat daripada sembilan perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan.

“Musim depan kami perlu tingkatkan prestasi dengan lebih banyak, kami banyak meningkat sejak November,” kata legenda tengah Barcelona Xavi, yang dilantik pada November ketika pasukan itu berada di tangga kesembilan.

Walaupun Barcelona berjaya mencapai objektif paling penting iaitu layak ke Liga Juara Eropah musim depan, mereka tewas kepada Frankfurt dalam aksi suku akhir Liga Europa musim ini dan tersingkir di pusingan 16 terakhir Copa del Rey.

(Jurulatih Barcelona Xavi Hernandez bertemu dengan Dwight Yorke Pemain A-League All Stars di Sydney hari ini/AP)

"Kami perlu positif. Musim depan, sekurang-kurangnya, kami perlu bersaing dan memenangi Liga Juara Eropah, mengapa tidak," kata Xavi.

"Kami sedang membina semula pasukan. Kami mempunyai rancangan, sudah tentu, dan kami perlu berdaya saing musim depan. Kami tidak boleh melalui satu lagi musim tanpa memenangi sebarang kejuaraan," ujarnya.

Mengenai spekulasi tentang Lewandowski yang banyak dikaitkan dengan Barca, Xavi berkata: “Saya tidak boleh mengesahkan Lewandowski atau mana-mana nama lain. Sudah tentu kami bekerja keras dan nampaknya kami perlu menambah baik.

"Ia hanya masalah masa. Jika kami perlu mengumumkan sesuatu kami akan mengumumkannya, tetapi bukan masa sekarang," tambahnya. -AFP

Media Baharu