MADRID, 17 Mac- Barcelona bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menundukkan Atletico Madrid, 4-2, dalam aksi penting perebutan kejuaraan La Liga, awal pagi tadi.
Lamine Yamal menjaringkan gol pada minit ke-92 sebelum Ferran Torres mengesahkan kemenangan pada minit ke-98.
Keputusan itu sekali gus membawa Barcelona kembali ke puncak liga selepas Real Madrid merampas kedudukan itu buat sementara waktu dengan kemenangan ke atas Villarreal, Sabtu lalu.
Barcelona kini berkongsi 60 mata dengan juara bertahan, Real Madrid tetapi memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan, manakala Atletico ketinggalan empat mata selepas kekalahan di laman sendiri kepada skuad kendalian Hansi Flick.
Kekalahan ini melengkapkan minggu yang suram buat Los Colchoneros susulan penyingkiran mereka dari saingan Liga Juara-Juara.
"Kami bermain dengan baik dan penuh keyakinan. Ia sesuatu yang menggembirakan," kata Flick, yang memburu kejuaraan treble bersama pasukannya musim ini.
"Kami akan melakukan segala-galanya untuk memenangi trofi. Kemenangan hari ini memberikan kami lebih keyakinan," tambahnya.
Selepas beberapa kali dikecewakan Atletico dalam detik akhir musim ini, kali ini Barcelona pula yang mencipta kejutan dengan jaringan lewat permainan.
Peluang itu melanjutkan rekod tanpa kalah mereka kepada 18 perlawanan dalam semua kejohanan.
Julian Alvarez dan Alexander Sorloth meletakkan Atletico di depan sebelum Robert Lewandowski dan Torres menyamakan kedudukan buat Barcelona.
Keputusan berakhir 4-2 menyebelahi Barcelona, apabila dua bintang mudanya menoktahkan kemenangan pada waktu kecederaan.
"Saya rasa selepas kemarahan dan rasa tidak berdaya kerana kurang selesa dalam permainan, kami bangkit dan memberikan yang terbaik," kata Yamal kepada DAZN.
"Kemenangan ini sangat penting. Menewaskan Atletico adalah satu kenyataan bahawa kami kembali sebagai pendahulu dengan kelebihan satu perlawanan dan kami sangat gembira," tambahnya.
Flick sebelum ini telah mengingatkan anak buahnya supaya kekal fokus selepas mereka kehilangan takhta liga pada Disember lalu akibat jaringan Atletico pada minit ke-96 dalam kekalahan 2-1 di tempat sendiri.
Barcelona juga pernah melepaskan dua gol lewat permainan ketika seri 4-4 dalam aksi separuh akhir pertama Copa del Rey menentang skuad kendalian Diego Simeone pada Februari.- AFP