fb fb fb fb fb

Duta sukan Johor bertaraf dunia, dorong pembangunan sukan generasi muda

Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah

JOHOR BAHRU, 17 Mac- Pemilihan bekas atlet sukan bertaraf dunia sebagai duta sukan Johor, merupakan salah satu proses pembangunan sukan masa hadapan khususnya untuk atlet muda.
 
Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata setiap duta dilantik termasuk yang terbaharu, Datuk Lee Chong Wei, adalah usaha menyuntik semangat golongan muda mencontohi pencapaian jaguh sukan terdahulu.
 
"Ia cukup baik untuk mendorong pembangunan dan generasi muda, melihat mereka pernah menjadi individu terbaik dunia. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei, Sonny Bill William dan Khabib.

Selepas ini, kita ada bola keranjang, kriket, dan hoki. Semua itu sudah disenarai pendek nama-nama yang bertaraf dunia. Dengan harapan, kita nak memberi dorongan serta semangat kepada anak muda tidak mengira mana-mana negeri pun," kata Mohd Hairi kepada pemberita, hari ini.
 
Beliau bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi merancangan mengadakan pertemuan bersama Datuk Lee Chong Wei dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju serta peranan bekas pemain nombor satu dunia terhadap pembangunan sukan badminton di Johor.
 
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan pelantikan pemenang tiga pingat perak Olimpik itu, semasa sesi soal jawab bersama peminat JDT, minggu lalu.
 
Datuk Lee Chong Wei menyertai barisan bekas bintang sukan yang dilantik sebagai duta sukan Johor, selepas Sonny Bill Williams bagi sukan ragbi selain ikon sukan, Tim Cahill dan Khabib Nurmagomedov.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM