fb fb fb fb fb

Skuad Bunga Raya perkemas taktikal hadapi Sri Lanka, April depan

Foto FB Malaysia Rugby

KUALA NERUS, 16 Mac- Skuad Bunga Raya kini dalam proses meningkatkan lagi kecergasan dan memantapkan taktikal pasukan menjelang aksi perlawanan penentuan (play-off) Sukan Ragbi 15 Sebelah (15'S) Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024, berdepan Sri Lanka, 19 April ini.

Perlawanan tersebut turut menjadi misi hidup mati untuk mengekalkan kedudukan dalam Divisyen Premier.

Ketua jurulatih, Saizul Hafifi Md Noor berkata tahap kecergasan anak-anak buahnya dilihat bertambah baik walaupun menjalani latihan pada bulan Ramadan berbanding fasa latihan pertama, baru-baru ini.
 
Selain itu, beliau mengakui dengan adanya kemudahan-kemudahan fasiliti disediakan, ditambah kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu dan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), melancarkan lagi sesi latihan skuad bunga raya kali ini.
 
"Kita nampak prestasi daripada kem pertama dengan kem kedua ini ada peningkatan. Kita harap selepas ini, dia akan terus meningkatlah. Kem di Terengganu ini amat baik dengan keadaan fasiliti yang bagus serta suasana yang sangat positif.

Selain itu, kita pun dapat komitmen yang bagus daripada semua pemain. Saya rasa cukup latihan kita di Terengganu ini. Saya ucap terima kasih banyak pihak yang membantu di sini," kata Saizul kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa bersama pasukan ragbi 15 sebelah ‘Bunga Raya’.

Majlis itu turut melibatkan rakan penaja dan FELDA Wilayah Terengganu diketuai pengarahnya, Saharuddin Ab. Rahman bertempat di The Nelang Cafe, Gong Badak Kuala Nerus.

Saizul yakin anak-anak buahnya mampu menghasilkan keputusan positif pada perlawanan 'play-off' nanti, dengan jangkaan pasukan kebangsan bakal diperkuat lagi dengan kehadiran dua tenaga naturalisasi dari Fiji.
 
Sementara itu, bagi pengurus pasukan Skuad Bunga Raya, Mohd Akmal Mohd Yunos, fasa latihan ketiga juga akan diadakan dan diteruskan selepas Aidilfitri nanti sebelum pasukan berangkat ke Sri Lanka.
  
Skuad negara kini dalam misi memenangi aksi playoff, selepas menamatkan kempen Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2024 di tangga tercorot di belakang juara, Hong Kong serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Korea Selatan.
 

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM