KUALA LUMPUR, 11 Julai – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meneruskan komitmen terhadap pembangunan bola sepak negara dengan memeterai perjanjian kerjasama strategik kali kelima bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
FAM dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama tersebut merangkumi pelbagai inisiatif pemasaran bersama, termasuk program pengaktifan secara digital dan fizikal sepanjang acara anjuran FAM, penyediaan reruai khas pada hari perlawanan, kandungan media sosial, serta pelbagai pertandingan buat peminat.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Menara Bank Islam, disaksikan oleh Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan – Perbankan Runcit Bank Islam, Mizan Masram dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.
Turut hadir menyaksikan pemeteraian kerjasama tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed dan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Datuk Haji Hamidin Mohd Amin.
Dalam usaha menyemarakkan lagi sokongan terhadap skuad kebangsaan, Bank Islam turut meneruskan program Kad Debit-i Jenama Bersama Team Harimau, yang kini mencatat lebih dua juta pengguna di seluruh negara.
Menurut Mizan, kad tersebut membolehkan penyokong Harimau Malaya menzahirkan sokongan mereka terhadap pasukan negara sambil menikmati pelbagai kemudahan transaksi tempatan dan antarabangsa.
"Menariknya, sebanyak RM2 daripada setiap fi pengeluaran, fi tahunan dan penggantian kad akan disalurkan kepada FAM bagi menyokong pembangunan bakat muda serta program bola sepak negara," katanya.
Tambah beliau, Bank Islam amat berbesar hati dapat terus menyumbang secara langsung kepada pembangunan bola sepak tanah air dan pada masa sama menggalakkan penggunaan perbankan digital serta transaksi tanpa tunai dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sementara itu, Exco FAM merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan FAM, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri menzahirkan penghargaan atas sokongan berterusan Bank Islam sejak lebih sedekad lalu.
“Bank Islam bukan sekadar penaja, tetapi rakan strategik sejati yang telah membantu mengukuhkan bukan sahaja jenama bola sepak tempatan, malah keseluruhan ekosistem bola sepak negara,” katanya.
Menurutnya, hubungan tersebut telah berkembang daripada perkongsian komersial kepada satu bentuk perkongsian nilai dan aspirasi yang selari dengan visi FAM mewujudkan struktur bola sepak yang menyeluruh, inklusif dan mampan.