fb fb fb fb fb

Wimbledon: Anisimova, Swiatek mara ke pentas akhir wanita

Amanda Anisimova / Foto AFP

LONDON, 11 Julai – Amanda Anisimova meneruskan sensasi kejohanan apabila mara ke pentas akhir Wimbledon buat kali pertama selepas menundukkan pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka dalam aksi separuh akhir.

Anisimova, 23, yang tampil dengan permainan agresif dan bertenaga, meraih kemenangan 6-4, 4-6, 6-4 untuk memperbaiki rekod pertemuan kepada 6-3 ke atas Sabalenka.

Kemenangan itu juga menghidupkan harapan Amerika Syarikat untuk merangkul gelaran Grand Slam wanita ketiga musim ini, selepas Madison Keys dan Coco Gauff masing-masing menjuarai Terbuka Australia dan Terbuka Perancis.

Di final Sabtu ini, Anisimova bakal berdepan cabaran juara lima kali Grand Slam, Iga Swiatek, yang mara ke final pertamanya di Wimbledon selepas menewaskan juara Olimpik Tokyo, Belinda Bencic 6-2, 6-0 dalam aksi separuh akhir sebelah lagi.

Swiatek yang kini menemui sentuhan di gelanggang rumput tampil meyakinkan, tidak memberikan sebarang ruang kepada Bencic untuk bangkit.

Anisimova kini berada di landasan untuk menjadi wanita Amerika pertama menjulang kejuaraan Wimbledon sejak Serena Williams pada 2016. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN