KUALA LUMPUR, 18 Februari- Malaysia sekali lagi gagal menamatkan badi kekalahan di suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 apabila skuad negara tewas 3-2 menentang China.
Dalam saingan yang berlangsung di Dubai itu menyaksikan perseorangan negara Lee Zii Jia bermula cemerlang dengan menewaskan Lei Lan Xi, 21-16, 22-20.
(Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia/ BERNAMA)
Bagaimanapun, China selaku juara bertahan, berjaya menyamakan kedudukan menerusi perseorangan wanitanya, Gao Fang Jie yang bangkit menewaskan pemain negara Goh Jin Wei, 15-21, 21-13, 21-19.
Nasib sama turut menimpa beregu lelaki negara apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi gagal menyekat asakan lawan sekali gus meletakkan China di depan 2-1.
Pada aksi ketiga Malaysia berjaya menyamakan kedudukan dua sama menerusi beregu wanita nombor lima dunia Pearly Tan-M.Thinaah yang berjaya menewaskan Liu Sheng Shu-Tan Ning 21-17, 12-21, 21-19.
Hasrat skuad negara untuk mengekalkan rentak kemenangan menerusi beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tidak kesampaian apabila pasangan itu tewas pada aksi terakhir.
Malaysia gagal melepasi pusingan suku akhir sejak kejohanan itu pertama kali dianjurkan di Hanoi pada 2017 dan seterusnya di Hong Kong pada 2019.