BINTULU, 7 Disember- Kejohanan Bintulu Amateur Muaythai Challenge Vol. 2 (BAMC II) kembali mencipta gemilang di arena sukan tempatan.
Kejohanan yang bermula semalam akan menutup tirainya hari ini, berlangsung di Paragon Mall, Bintulu.
Malam pembukaan diserikan dengan pelbagai persembahan, termasuk flash mob bertemakan Sejarah Asal Usul Bintulu, serta demonstrasi pencak silat dan seni bela diri lain.
Presiden Persatuan Muaythai Sarawak (PMSN), Jumaat Ibrahim, berkata kejohanan tersebut bertujuan untuk memperkenal, mengembangkan, dan mencungkil bakat baharu dalam sukan Muaythai, khususnya di Sarawak.
“Program ini bukan sahaja mengetengahkan bakat tempatan dalam sukan Muaythai, tetapi juga memupuk minat belia terhadap seni mempertahankan diri dan sejarah budaya Bintulu,” ujarnya.
Pegawai Khas ADUN Jepak, Shahrezy Sulaiman, turut hadir mewakili Iskandar Turkee dalam majlis perasmian tersebut.
Hari ini, kejohanan diteruskan dengan pertandingan kategori amatur, diikuti dengan Super Fight kategori profesional pada malam penutupan.
Turut memeriahkan acara ialah persembahan Wai Khru & Mai Muay, serta pertunjukan gusti.
Acara tersebut dijangka menarik kehadiran peminat seni bela diri dari seluruh Malaysia dan Brunei, memberikan peluang menyaksikan bakat luar biasa dalam suasana yang penuh semangat.
BAMC II bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan sukan muaythai di Bintulu, malah turut memainkan peranan dalam mengukuhkan hubungan komuniti setempat melalui seni mempertahankan diri.