SHAH ALAM, 27 Januari -Gandingan Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani disenarai bagi menggalas cabaran pada kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) yang akan berlangsung di Shah Alam, Selangor bulan depan.
Menurut Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia-BAM, Rexy Mainaky, pasangan itu dilihat pilihan terbaik bagi menggantikan gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
"Memang kita ada tawarkan mereka pada mulanya. Jurulatih Rosman ada berbincang dengan mereka.
"Namun, mereka terutamanya Teo berkata mereka tidak bersedia memandang mereka tidak cergas untuk bermain dan sangat menghargai pelawaan BAM", kata Rexy di sini.
Kategori beregu lelaki turut dibarisi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Choong Hon Jian-Haikal Nazri.
Sementara itu, bagi kategori perseorangan lelaki, BAM menyenaraikan Lee Zii JIa, Ng Tze Yong, dan Eugene Ewe.
Bagi pasukan wanita pula cabaran akan digalas Goh Jin Wei, K. Letshana, Wong Ling Ching dan Siti Nurshuhaini Azman.
Manakala, pasangan Pearly Tan-M Thinaah, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee, Low Yeen Yuan-Tan Zhing Yi akan memperkuat barisan beregu wanita.
Kejohanan dijadual berlangsung mulai 13 hingga 18 Februari depan.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Badminton Malaysia-BAM membuat keputusan menggantikan pemain perseorangan Justin Hoh dengan Leong Jun Hao untuk Kejohanan Berpasukan Badminton Asia.
Justin dimaklumkan mengalami kecederaan pada lutut kanannya dan mungkin mengambil sedikit masa untuk pulih.
Dengan tarikh akhir mendaftar pemain berakhir semalam, BAM memutuskan untuk membawa masuk Leong Jun Hao sebagai pengganti.
Justin telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengelak daripada menyertai sebarang pertandingan berintensiti tinggi dalam beberapa minggu akan datang.