GENOA, 29 Oktober- Bekas bintang bola sepak Itali, Mario Balotelli kembali ke Serie A selepas lebih empat tahun berkelana di Eropah.
Pemain berusia 34 tahun itu menandatangani kontrak dengan Genoa sebagai pemain bebas, setelah tidak mempunyai kelab sejak penghujung musim lalu.
Genoa, yang kini berada di kedudukan terbawah liga, hanya menjaringkan tujuh gol dalam sembilan perlawanan setakat ini. Pengurus Genoa, Alberto Gilardino, berharap kehadiran Balotelli dapat menajamkan jentera serangan pasukan dengan pengalaman 52 golnya dalam 141 perlawanan Serie A.
Balotelli kali terakhir beraksi untuk kelab Turki, Adana Demirspor, namun mengalami kecederaan lutut dalam musim keduanya dan berjaya mencetak tujuh gol dalam 16 perlawanan.
Sementara itu, kelab Genoa dalam kenyataan memberikan sambutan hangat kehadiran Balotelli ke kelab tersebut.
Manakala Balotelli dilaporkan berkata beliau cukup bersemangat dan bersedia untuk memulakan aksi bersama Genoa.
"Saya sangat bersemangat. Saya tak mahu bercakap banyak, saya hanya mahu bermula", katanya.
Balotelli yang lebih dikenali "Super Mario dalam kalangan peminat bola sepak mula mencipta nama dalam Serie A bersama Inter Milan pada 2007 di bawah pengurus Roberto Mancini, dan menjadi sebahagian daripada skuad Inter yang memenangi tiga kejuaraan liga, termasuk kejayaan treble pada 2010 di bawah bimbingan Jose Mourinho.
Beliau kemudian menyertai Manchester City bersama Mancini, memenangi kejuaraan liga dan Piala FA, sebelum berhijrah ke AC Milan, Liverpool, dan kemudian menghabiskan empat musim di Perancis bersama Nice dan Olympique de Marseille.
Penampilan terakhirnya dalam Serie A adalah bersama Brescia pada musim 2019-2020 di mana dia menjaringkan lima gol dalam 19 perlawanan. Selepas itu, dia menyertai Monza di Serie B, diikuti di Turki dan Switzerland bersama kelab Sion.-REUTERS