PERANCIS, 29 Oktober - Pemain tengah Manchester City, Rodri dinobatkan sebagai pemenang anugerah Ballon d'Or mengenepikan saingan sengit dua bintang Real Madrid, Vinicius Jr dan Jude Bellingham.
Kejayaan pemain berusia 28 tahun itu sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang membantu City merangkul trofi Liga Perdana Inggeris(EPL) buat kali keempat berturut-turut musim lalu, selain menjadi tonggak penting Sepanyol menjulang gelaran EURO 2024.
Rodri adalah pemain tengah bertahan pertama memenangi Ballon d'Or sejak Lothar Matthaus melakukannya pada 1990, Alfredo Di Stefano pada 1957 dan 1959 serta Luis Suarez pada musim 1960.
Sementara itu, bintang Barcelona dan Sepanyol, Aitana Bonmati mencipta sensasi memenangi gelaran Ballon d'Or wanita buat kali kedua berturut-turut.
Pemain tengah berusia 26 tahun itu menyertai rakan sepasukan Alexia Putellas sebagai satu-satunya pemain wanita yang menguasai Ballon d'Or sebanyak dua kali, iaitu pada 2021 dan 2022.
Anugerah lain menyaksikan pemain muda Barcelona, Lamine Yamal merangkul trofi Kopa sebagai pemain muda terbaik musim lalu.
Pengempur Bayern Munich, Harry Kane dan tonggak Real Madrid, Kylian Mbappe yang masing-masing meledak 52 gol pada saingan tahun lalu berkongsi trofi Gerd Muller bagi mengiktiraf penyerang paling menyerlah.
Pemenang anugerah berprestij itu dipilih oleh juri antarabangsa yang terdiri daripada 100 wartawan sukan. - AFP