UNITED KINGDOM, 29 Oktober - Manchester United sedang mengadakan perbincangan dengan jurulatih kelahiran Portugal, Ruben Amorim untuk menjadi pengurus baharu pasukan selepas memecat Erik ten Hag pada Isnin, menurut beberapa laporan media antarabangsa.
Ten Hag dipecat susulan prestasi buruk musim ini, dengan bekas penyerang 'Red Devils', Ruud van Nistelrooy dilantik sebagai pengurus sementara.
Amorim yang kini mengetuai Sporting Lisbon, hampir bersetuju dengan perjanjian untuk mengambil alih peranan penting di Old Trafford.
Pengendali berusia 39 tahun disifatkan sebagai salah seorang jurulatih muda terkemuka Eropah dan pernah dikaitkan dengan Liverpool selepas Jurgen Klopp meletak jawatan sebagai pengurus 'The Reds' pada Mei lepas.
Bagaimanapun juara Liga Perdana Inggeris(EPL) musim 2019/20 itu kemudian melantik jurulatih kelahiran Belanda, Arne Slot mengendalikan pasukan hadapi saingan musim baharu.
Amorim yang menamatkan karier sebagai pemain pada 2016 juga pernah mengadakan perbincangan bersama satu lagi kelab EPL, West Ham bagi menggantikan David Moyes.
Bekas pemain tengah skuad kebangsaan Portugal itu meraih reputasi baik selepas berjaya mengetuai Sporting merangkul kejuaraan liga pertama dalam tempoh 19 tahun pada 2021 dan meneruskan pencapaian cemerlang merangkul gelaran sama pada musim lalu.
Tugas sukar menanti Amorim sekiranya bersetuju membimbing United, iaitu membawa pasukan naik dari kedudukan ke-14 liga.
Juara 13 kali saingan EPL itu hanya mampu mengumpul 11 mata hasil tiga kemenangan serta dua seri dalam keseluruhan sembilan perlawanan.