fb fb fb fb fb

Aaron Chia terima insentif khas RM50,000

Foto FB Kerajaan Negeri Melaka

AYER KEROH, 28 Oktober- Kerajaan negeri Melaka telah menyampaikan lebih RM250,000 sebagai insentif kemenangan kepada atlet dan jurulatih yang membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Paris dan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024.

Seramai 110 atlet dan 67 jurulatih menerima insentif tersebut.

Atlet badminton beregu negara, Aaron Chia, menerima insentif khas berjumlah RM50,000 atas kejayaannya meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Paris pada Ogos lalu.

"Terima kasih kepada negeri Melaka.. insentif ini buat saya rasa sangat dihargai.

"Negeri Melaka sentiasa menjaga semua atlet kita, jadi saya ucapkan terima kasih," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Insentif Kemenangan Sukan Olimpik Paris 2024 dan SUKMA XXI, Sarawak 2024 di sini.

Penyampaian insentif itu telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa industri sukan di Melaka dengan mempelbagaikan program pembangunan sukan yang inklusif.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM