fb fb fb fb fb

Bajet 2023: Kerajaan sedia RM332 juta untuk industri sukan

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Tahun ini negara telah memahat sejarah sukan yang amat membanggakan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 berkata, pastinya apabila kejayaan paling besar ialah pengakhiran 45 tahun untuk Malaysia bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia melalui pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia – Soh Wooi Yik.

Oleh itu, melihat pentingnya program latihan dan fasiliti sukan yang terbaik buat negara kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM332 juta .

"Antara sebanyak RM145 juta untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.

"Selain itu RM154 juta bagi menjayakan pembangunan ekosistem sukan yang menyeluruh melalui pencarian bakat baharu, program latihan, kelengkapan fasiliti sukan, hinggalah membawa negara ke podium sukan antarabangsa," katanya.

Sementara itu, sebanyak RM20 juta bagi membuka peluang belia terlibat dalam sukan permotoran di platform yang betul melalui pembangunan litar drag.

Tambahnya, RM13 juta juga untuk pembangunan e-sukan.

Beliau berkata potongan cukai juga akan diberikan bagi mereka yang menyumbang kepada NGO yang terlibat dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi.

ATLET PARA NEGARA

Sementara itu, bagi melahirkan lebih ramai atlet para bertaraf antarabangsa, kerajaan menyediakan sejumlah RM12 juta untuk pembangunan sukan OKU.

"Kepada atlet para negara – kalian sentiasa memberi inspirasi. Kami turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet para negara yang berjaya menggenggam 36 emas di Sukan Para ASEAN," katanya.

KEBAJIKAN ATLET

Tambah Zafrul, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk tahun 2023 dan selanjutnya agar kebajikan atlet negara terus terpelihara.

AGENDA NASIONAL MALAYSIA SIHAT

Kerajaan turut menyediakan dana sebanyak RM15 juta melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat bagi memupuk gaya hidup sihat serta mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit

"Hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi menunjukkan, satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan. Kita juga kekal juara sebagai negara paling obes di Asia Tenggara. Ini adalah satu isu kesihatan awam yang perlu diambil berat," katanya.

HARI SUKAN NEGARA

Pada tahun hadapan, kerajaan menyediakan RM10 juta untuk meneruskan Hari Sukan Negara dan Jelajah Fit Malaysia.

Bersempena Hari Sukan Negara pada esok (Sabtu), Tengku Zafrul menyeru agar seluruh Keluarga Malaysia meluangkan sedikit masa beriadah demi memupuk gaya hidup lebih sihat.


Media Baharu