KUALA LUMPUR, 2 November -Kejohanan badminton Berpasukan Antara Negeri 100PLUS Bawah 12 dan Bawah 16 Tahun 2025 melabuhkan tirainya di Stadium Titiwangsa hari ini.
Kejohanan yang menggunakan format permainan tiga terbaik itu menyaksikan pasukan Johor, Melaka, Kedah dan Wilayah Persekutuan mendominasi pentas akhir.
Dalam kategori bawah 16 lelaki, pasukan Melaka muncul juara selepas menewaskan Kedah 2-1.
Melaka mendapatkan mata pertama menerusi pemain perseorangan Syed Harraz yang menewaskan Chong Lee Qian, 21-16, 8-21, 22-20.
Skuad kedah kembali menyamakan kedudukan menerusi pasangan beregu Kieshen Sai Rao-Lee Kai Xun yang menewaskan pasangan Ungku Ammer–Ahmad Qaid Darwisy dalam permainan yang berlanjutan tiga set, 21-19,12-21,21-15.
Kedudukan mata yang terikat 1-1 menyebabkan permainan terpaksa ditentukan menerusi perlawanan perseorangan.
Wakil Melaka,Curson Cheng Yu Yang menjadi wira pasukan Melaka selepas menewaskan Joshua Karunagaran, 21-10,21-8.
Dalam kategori bawah 16 perempuan, pasukan Johor mengungguli saingan apabila menewaskan Perak 2-0, menerusi perseorangan Low Zi Yu yang menumpaskan Balqis Safia Zahrah Mohd Zain 21-14, 21-17.
Gandingan Navina Nagarajan–Hasyni Devi Sahathevan memastikan kejuaraan sah buat Johor selepas menewaskan pasangan A.Baavanya-Yong Hui Teng 21-7, 21-11
Sementara itu kategori bawah 12 perempuan, Kedah menafikan Selangor 2-0.
Kejohanan tahunan anjuran KLBA dengan kerjasama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu menghimpunkan pasukan negeri dari seluruh negara sebagai medan mencungkil bakat baharu sebelum ke pentas Asia dan dunia.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Chin Teck How, berkata penganjuran kejohanan kali ini agak istimewa kerana buat pertama kalinya kesemua perlawanan dijalankan di gelanggang yang berhawa dingin.
Beliau berkata, langkah itu bertujuan memberi pendedahan kepada pemain muda merasai suasana sebenar bermain dalam perlawanan antarabangsa
“Semua acara BWF kini dimainkan di gelanggang berhawa dingin. Jadi kami mahu pemain muda belajar menyesuaikan diri dengan keadaan sebenar perlawanan antarabangsa,” katanya.
"Sekarang anda tahu bahawa semua acara BWF mesti dimainkan di gelanggang berhawa dingin, jadi kami akan cuba menganjurkan kejohanan antara negeri buat pertama kali di gelanggang berhawa dingin. Ini kerana bermain tanpa dan dengan hawa dingin memberikan perbezaan yang ketara anda perlu menganalisis arah angin dengan teliti", katanya ketika ditemui media di sini.
Dalam perkembangan sama, Teck How turut menjelaskan pembangunan akar umbi yang dipelopori KLBA kini membuahkan hasil.
"Kita bangga sebab hasil pembangunan akar umbi seperti program Jejak Juara kini mula menampakkan hasil. Pemain seperti Muhammad Noor Hanafi ialah contoh kejayaan pelapis yang kita lahirkan sendiri," katanya ketika ditemui pada kejohanan Berpasukan Antara Negeri Bawah 12 & Bawah 16 Tahun 2025 di sini hari ini.