fb fb fb fb fb

Maybank Golf Championship 2025 platform lahir bakat baharu – Kelly Tan

Pemain golf wanita profesional negara, Kelly Tan/RTM

KUALA LUMPUR, 2 November - Pemain golf profesional negara, Kelly Tan menyifatkan penganjuran Maybank Golf Championship 2025 sebagai bukan sekadar medan penting buat pemain elit tempatan, tetapi juga platform terbaik melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan golf wanita negara.

Menurutnya, kejohanan bertaraf antarabangsa seperti ini membuka peluang besar kepada pemain muda Malaysia untuk menimba pengalaman beraksi bersama barisan pemain terbaik dunia.

"Saya rasa sukan ini memerlukan banyak sokongan. Penganjuran kejohanan seperti ini jelas memberi peluang kepada pemain wanita Malaysia untuk beraksi, menilai tahap permainan mereka serta bersaing dengan pemain terbaik dunia. Namun, saya percaya kita masih memerlukan lebih banyak sokongan. Saya yakin kita akan melihat kemunculan bintang baharu apabila kejohanan ini mampu memberi inspirasi kepada ramai gadis muda untuk menjadikan golf sebagai kerjaya profesional atau sekurang-kurangnya, membantu mengembangkan sukan ini di negara kita" katanya kepada pemberita

Kelly, yang beraksi lebih sedekad di pentas LPGA, mengakui pengalaman tersebut memberinya pemahaman mendalam terhadap cabaran dihadapi pemain muda tempatan terutamanya dalam mencari arah tuju dan sumber kewangan untuk kekal bersaing di peringkat antarabangsa.

Beliau turut menasihati pemain baharu agar tidak segan mendapatkan tunjuk ajar daripada pemain berpengalaman bagi memastikan kesinambungan pembangunan golf wanita di Malaysia.

Dalam aksi di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Kelly melalui pusingan mencabar apabila berdepan beberapa pukulan sukar pada sembilan lubang pertama, namun tetap menerima sorakan padu daripada penyokong tempatan yang hadir memberi sokongan pada hari terakhir kejohanan.

Maybank Golf Championship 2025, yang berlangsung di KLGCC, menghimpunkan pemain profesional lelaki dan wanita dari seluruh dunia, sekali gus menjadikannya antara kejohanan golf paling berprestij di rantau ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD