KUALA LUMPUR, 12 April - Jaguh perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia menepati ramalan mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024, selepas mengetepikan cabaran wakil Taiwan Chou Tien Chen, pada Khamis.
Pemain pilihan kelapan kejohanan itu mengesahkan kemaraan dalam tempoh 39 minit yang menyaksikan Zii Jia menang 21-15, 21-17 pada aksi yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo, China.
Keputusan itu merupakan kemenangan keempat Zii Jia daripada sembilan pertemuan dengan pemain Taiwan berkenaan.
Zii Jia akan menentang pilihan ketiga kejohanan, Jonathan Christie dari Indonesia pada peringkat suku akhir, hari ini.
Turut mengikut jejak langkah Zii Jia ke suku akhir adalah dua beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Aaron-Wooi Yik bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum mengatasi wakil Jepun, Kenya Mitsuhashi dan Hiroki Okamura 21-18, 14-21 dan 21-14.
Kemenangan itu menyaksikan pasangan negara mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas lawan sama selepas turut menang ketika pertemuan pertama mereka di pusingan kedua Terbuka India, Januari lalu.
Turun selaku pilihan keempat, Aaron-Wooi Yik akan berdepan pasangan China yang juga pilihan ketujuh, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi bagi perebutan tempat ke separuh akhir.
Dalam satu lagi aksi, pasangan di ranking ke-19 dunia, Sze Fei-Nur Izzudin tidak perlu menggunakan banyak tenaga untuk mara.
Ini selepas lawan dari China, He Ji Ting dan Ren Xiang Yu menarik diri pada set kedua, akibat mengalami kecederaan.
Sebelum itu, pasangan negara telah pun memenangi set pertama dengan catatan 21-11.
Cabaran getir menanti mereka di suku akhir yang berlangsung hari ini berdepan pemenang emas Olimpik Tokyo dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin.