TOKYO, 18 November - Pelari negara, Azlan Kuste, melakar aksi penuh mendebarkan apabila bangkit daripada kedudukan belakang untuk menempah slot final acara 1500 meter (m) lelaki pada Deaflympics 2025 di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa, di sini.
Bermula dalam saringan kedua di lorong kelapan, atlet kelahiran Sabah itu pada mulanya berada di kedudukan kedua tercorot sebelum melakukan pecutan meyakinkan pada pusingan terakhir untuk memperbaharui rekod peribadi dengan masa 4 minit 14.69 saat.
Pelari negara, Azlan Kuste (empat kiri) bangkit daripada kedudukan belakang untuk menempah slot final acara 1500 meter (m) lelaki pada Deaflympics 2025 di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa/ RTM
Catatan tersebut sudah memadai untuk Azlan mara ke final berdasarkan format enam pelari terpantas.
Saringan tersebut turut menyaksikan pelari Iraq, Aws Mohammed Al-Jubainawi, muncul juara dengan 4:10.76s, diikuti John Kiplangat Koech dari Kenya (4:12.37s) dan Aliaksandr Charniak yang bertanding sebagai Atlet Neutral (4:13.67s).
Azlan yang juga juara Sukan SEA Pekak Jakarta Ogos lalu, dijangka berdepan saingan lebih sengit dalam final esok dengan tiga pelari Kenya menjadi pencabar utama.