fb fb fb fb fb

Oscar Piastri menang anugerah tertinggi sukan Australia

Pelumba Formula Satu, Oscar Piastri/ AFP

MELBOURNE, 18 November – Pelumba Formula Satu, Oscar Piastri meraih penghormatan tertinggi sukan Australia apabila diumumkan sebagai penerima Don Award, satu pencapaian yang beliau sifatkan sebagai 'keistimewaan besar'.

Pelumba berusia 24 tahun itu melonjak dalam arena F1 tahun ini, mencetuskan kebanggaan rakyat Australia ketika beliau berusaha menjadi juara dunia F1 ketiga negara itu selepas Jack Brabham dan Alan Jones.

Piastri kini berada 24 mata di belakang rakan sepasukan McLaren, Lando Norris dalam perebutan gelaran dengan tiga perlumbaan berbaki musim ini.

Anugerah berprestij itu diberikan pada majlis Sport Australia Hall of Fame di Melbourne bagi menghargai atlet atau pasukan yang paling menginspirasi negara dalam tempoh 12 bulan lalu. Ia dinamakan sempena legenda kriket, Sir Donald Bradman.

“Memenangi anugerah yang dinamakan sempena Sir Donald Bradman adalah suatu penghormatan besar,” kata Piastri.

“Semua rakyat Australia tahu legasi beliau, jadi saya amat menghargai makna anugerah ini,” jelas beliau.

Piastri turut berterima kasih kepada para penyokong yang mengibarkan bendera di setiap Grand Prix.

Tokoh sukan hebat seperti Ian Thorpe, Cathy Freeman, Adam Scott, Ashleigh Barty dan pasukan bola sepak wanita Australia pernah memenangi anugerah yang sama.

Sementara itu, juara dunia luncur ombak tujuh kali, Layne Beachley menerima Dawn Award, yang mengiktiraf individu atau organisasi yang membawa perubahan positif kepada sukan.

Beachley dikenang kerana mendominasi sukan itu antara 1998 hingga 2003 dan memperjuangkan kesaksamaan bayaran dalam luncur ombak wanita, yang akhirnya dicapai pada tahun 2018. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN