KUALA LUMPUR, 23 Julai - Meskipun bergelar atlet profesional, jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang terus diberi kepercayaan mengemudi jentera WX-R Vorteq yang direka khas mengikut tubuh badannya, dengan misi terkini memburu slot ke Kejohanan Dunia pada Oktober ini.
The Pocket Rocketman berkata Majlis Sukan Negara (MSN) meluluskan penggunaan berterusan basikal berkenaan kerana ia selaras dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan khusus bagi persiapan menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2026.
“Basikal itu masih digunakan, diberikan kebenaran MSN untuk guna, jadi tiada isulah. Lagipun basikal itu memang direk khas ikut kesesuaian tubuh saya. Kalau nak bagi orang lain pun, tak tahu siapa boleh pakai.
“Pelumba yang mungkin boleh guna ialah Nurul Izzah Izzati (Mohd Asri), tetapi Nurul Izzah pun memang pakai WX-R Vorteq. Pelumba lain semua tinggi dan besar serta saiz basikal mereka macam Muhammad Shah Firdaus Sahrom,” katanya kepada Bernama selepas diumumkan sebagai duta jenama Volkswagen Malaysia pertama di sini.
Menurut Mohd Azizulhasni, kepulangannya ke tanah air adalah untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dalam misinya memburu tempat ke Kejohanan Dunia.
Atlet berusia 37 tahun itu turut mengakui keputusan berkenaan adalah hasil usaha bersama, untuk saling memberikan dorongan dan cabaran ke arah meningkatkan prestasi keseluruhan skuad kebangsaan.
“Ketika ini, John Beasley (Pengarah Teknikal) sedang menilai prestasi saya bagi menentukan kejohanan mana saya akan sertai, namun fokus utama sudah tentu Kejohanan Dunia.
"Kami perlu melalui fasa pemilihan terlebih dahulu, dan bagi saya, harapnya sebelum Kejohanan Dunia saya berpeluang menyertai satu atau dua kejohanan lain sebagai penilaian terhadap prestasi semasa,” katanya.
Mengenai acara bakal disertainya, beliau berkata fokus utama ialah acara pecut berpasukan, namun perlu menjalani ujian prestasi bagi menilai sama ada hala tuju itu masih relevan atau tidak.
“Sewaktu saya umumkan untuk membuat kemunculan semula, matlamatnya adalah untuk melayakkan diri ke Kejohanan Dunia. Namun kini hala tuju pasukan masih belum diputuskan sepenuhnya,” katanya.
Terdahulu, Beasley memaklumkan Mohd Azizulhasni tidak tersenarai dalam acara individu di Kejohanan Dunia 2025 di Santiago, Chile dari 15 hingga 19 Okt, namun berpeluang beraksi dalam acara pecut berpasukan jika layak secara merit.
Pada April lepas, Mohd Azizulhasni telah mengumumkan keputusan untuk meneruskan kayuhan bagi tempoh dua tahun dan bergerak secara profesional mewakili Team Azizul selepas MSN menyalurkan geran individu sebanyak RM200,000 hingga 2026. - BERNAMA