LEVERKUSEN, 23 Julai – Pengendali Bayer Leverkusen, Erik ten Hag menegaskan bahawa kelab itu tidak akan melepaskan ketua pasukan Switzerland, Granit Xhaka, selepas pemain tengah berpengaruh itu dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Liga Perdana Inggeris, Sunderland.
Xhaka, 32, dilapor telah mencapai persetujuan awal bersama kelab yang baru dinaikkan pangkat itu, menurut ejen pemain tersebut kepada media Jerman.
Bagaimanapun, Ten Hag yang menggantikan Xabi Alonso pada Mei lalu berkata, Leverkusen sudah cukup terkesan dengan kehilangan tiga tonggak utama iaitu Florian Wirtz dan Jeremie Frimpong ke Liverpool, serta pertahanan tengah Jonathan Tah ke Bayern Munich.
“Ejen boleh kata apa sahaja. Tapi kelab ini sudah kehilangan tiga pemain penting,” kata bekas pengurus Manchester United itu kepada media Jerman.
“Kami tidak akan lepaskan mana-mana pemain lagi, itu mustahil. Ia akan menjejaskan struktur dan budaya skuad.
“Granit adalah seorang pemimpin. Dia menandatangani kontrak lima tahun dan masih berbaki tiga tahun lagi. Dia terlalu penting untuk kami", ujarnya.
Xhaka memainkan peranan besar dalam kejayaan Leverkusen memenangi kejuaraan berganda musim lalu dengan menjuarai Bundesliga tanpa sebarang kekalahan dan menjulang Piala Jerman, selain mara ke pentas akhir Liga Europa.
Sejak menyertai kelab itu dari Arsenal, Xhaka telah membuat 99 penampilan, menjaringkan enam gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan. -REUTERS