KUALA LUMPUR, 23 Julai - Impian beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka China 2025 tidak kesampaian selepas tersingkir pada pusingan pertama di Changzhou hari ini.
Ranking keenam dunia itu ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan Indonesia Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dalam pertarungan tiga set yang berlangsung lebih sejam dengan keputusan 21-18, 22-24, 15-21.
Ini adalah kekalahan kali kedua Soon Huat-Shevon kepada pasangan sama, selain gagal mengekalkan kedudukan selaku naib juara kejohanan itu pada edisi 2024.
Dalam pada itu, beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa melupakan hasrat mempertahankan kejuaraan apabila dikejutkan dengan kekalahan kepada gandingan ranking ke-40 dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Kim Dong Ju 15-21, 21-15, 21-17 dalam tempoh 56 minit.
Ia kekalahan berganda buat ranking ketiga dunia itu, yang turut gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka Jepun apabila tewas pada aksi final, Ahad lepas. - BERNAMA