fb fb fb fb fb

Azizulhasni luah kekecewaan berikutan penyingkiran awal acara keirin

Foto Facebook Datuk Azizulhasni Awang

KUALA LUMPUR, 11 Ogos- Pelumba berbasikal trek Malaysia Datuk Azizulhasni Awang meluahkan kekecewaan berikutan tersingkir dalam pusingan pertama acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024, semalam.

Azizulhasni menerusi satu hantaran Facebook berkata, beliau memulakan perlumbaan dari posisi terakhir (keenam) dan merancang untuk bergerak kehadapan secepat mungkin, berdasarkan perbincangan dengan jurulatihnya, John Beasley.

Taktik itu adalah untuk mengelakkan situasi sukar yang mungkin timbul jika pelumba hadapan memecut awal.

"Akan ada kemungkinan blocking dan gapping dari beberapa pelumba hadapan jika saya menggunakan taktik menunggu.

"Jadi saya harus memilih taktik terbaik untuk meningkatkan kemungkinan untuk menang, dan bergerak awal ini juga saya ada lakukan ketika pusingan awal di Olimpik Tokyo dahulu," katanya.

Ketika perlumbaan berlangsung, Azizulhasni menghadapi himpitan agresif dari pelumba Perancis, yang hampir menyebabkan beliau terjatuh.

Kejadian itu mengganggu strateginya untuk bergerak ke hadapan.

"Sebagai seorang pelumba Keirin yang elite, kita tahu speed/kelajuan untuk pacer sebelum keluar. Biasanya di lap terakhir pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat dari kelajuan 50-55 km/j.

"...pacer bergerak pada kelajuan hanya 40-45kmh dan tidak pada kelajuan sepatutnya dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan," katanya lagi.

Berikutan itu ia menyebabkan Azizulhasni tidak dapat memperlahankan kelajuan seperti yang dirancang dan beliau tersingkir dalam perlumbaan berkenaan.

Azizulhasni didapati memintas pacer sebelum pacer keluar dari garis permulaan, yang menyebabkan dia disingkirkan dari perlumbaan.

Namun beliau dan pasukannya telah meminta panel komisar untuk menilai semula keputusan tersebut, tetapi keputusan asal tetap dipertahankan.

Dengan penyingkiran semalam, Shah Firdaus Sahrom menjadi satu-satunya wakil Malaysia dalam acara keirin, dan Azizulhasni berharap agar semua memberikan sokongan kepada rakan sepasukannya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI