(Azeem menerima rawatan apabila mengalami kekejangan otot selepas acara 200 meter lelaki semalam)
KUALA LUMPUR, 19 September - Jaguh pecut muda negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi tekad bangkit selepas gagal menambah koleksi pingat emas dalam acara 200 meter (m) lelaki semalam
Pelari berasal dari Teluk Intan ini berkata kekalahan yang dialaminya akan dijadikan pengajaran untuk memperbaiki prestasinya.
Azeem yang masih bergelut dengan kecederaan hamstring mencatat masa 21.03 saat, melakukan pecutan awal sebelum dipintas atlet Johor Muhammad Arsyad Md Saat.
"Saya dah dirujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN), memang saya mengalami kekejangan otot kiri dan kanan.
"Masa saya memang padat sekarang dan tidak mempunyai rehat yang cukup.
"Untuk saya kembali pulih sepenuhnya saya akan buat fisioterapi, saya harap saya dapat lakukan yang lebih baik pada masa akan datang dan terus doakan saya," katanya kepada RTM semalam.
(Atlet kebangsaan dari Perak Muhammad Azeem Mohd Fahmi)
Menurut Azeem, kini dia beralih fokus untuk mempersiapkan diri bagi menyertai kejohanan di Jepun akhir bulan ini.
Kejayaan Muhammad Arsyad yang dibezakan dengan 0.01 saat itu menyaksikannya meraih pingat emas manakala Azeem membawa pulang pingat perak.
Semalam, jaguh pecut negara itu cedera di bahagian hamstring dan dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN).
Sementara itu mengenai tawaran luar yang diterimanya, Azeem berkata masih terlalu awal untuknya memberi sebarang komen.
"Buat masa sekarang saya tak boleh nak kongsi maklumat dengan lebih lanjut, belum rasmi lagi.
"Tunggu apabila dah rasmi nanti Insyaa Allah saya akan umumkan universiti mana yang saya pilih dengan tawaran yang saya dapat," katanya.