fb fb fb fb fb

Azeem Fahmi, prospek sukan olahraga negara

Foto Media Sosial

SEPANG, 28 Jun- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memantau rapat perkembangan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata atlet berusia 19 tahun itu antara prospek terbaik negara dalam acara olahraga pada Sukan Asia Hangzhou, September depan.

Beliau juga berharap pemegang rekod terbaik 100 meter kebangsaan itu akan mempamerkan prestasi cemerlang bermula dengan Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok, Thailand pada Julai.

"Saya telah bertanyakan persiapan beliau dan sokongan yang beliau telah terima. Setakat ini, Azeem telah menyatakan bahawa beliau mempunyai sokongan yang sangat baik di Amerika Syarikat dan beliau boleh fokus pendidikan beliau dan juga latihan di sana sangat baik.

Kita berharap nanti di Sukan Asia, Azeem boleh melakukan yang terbaik. Saya rasa beliau yakin dengan persiapan sedia ada setakat ini," kata Hannah kepada pemberita.


(Foto Fail)

Azeem kini sedang dalam proses untuk pulih daripada kecederaan pangkal peha yang dialaminya bulan lalu.

Pelajar Universiti Auburn, Alabama itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan yang sebelum itu di pegang Khairul Hafiz Jantan dengan catatan baharu 10.09 semasa Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20).

Media Baharu