KUALA LUMPUR, 11 November - Jaguh larian menara negara, Soh Wai Ching, optimis memburu semula gelaran pelari nombor satu dunia pada saingan terakhir musim ini yang dijadual berlangsung di Menara Shanghai, China, pada 20 November ini.
Atlet berusia 31 tahun itu turut menyasarkan untuk memecahkan rekod kejohanan bawah 17 minit 25 saat, sekali gus memperkukuh statusnya sebagai pelari terpantas dunia dalam acara mendaki tangga menara.
Wai Ching yang kini menduduki ranking pertama dunia, menyifatkan kejohanan kali ini sebagai misi menebus kekecewaan selepas hanya menamatkan saingan di tempat ke-11 tahun lalu akibat keracunan makanan.
“Saya mahu kembali merebut trofi nombor satu dunia. Sebelum ini saya sudah dua kali menjuarai gelaran dunia pada 2022 dan 2023, tapi tahun lepas saya terkeluar daripada senarai utama. Tahun ini, saya mahu dapatkannya semula,” katanya ketika ditemui RTM di Wisma Berita, Angkasapuri.
Mengulas lanjut, Wai Ching mengakui cabaran kali ini bukan mudah kerana perlu menempuh 3,368 anak tangga, menjadikan ia antara laluan paling sukar dalam siri kejohanan dunia.
Lebih istimewa, kejohanan kali ini turut menjadi detik bermakna buatnya yang bakal menyambut kelahiran anak sulungnya tidak lama lagi.
"Saya dapat rasakan berita-berita yang baik dengan sekarang menanti kelahiran anak sulung memang banyak membawa tuah kepada saya. Jadi, memang saya akan ambil peluang ini untuk buat yang terbaik, malah itu juga niat saya untuk rakyat Malaysia," Jelasnya.
Dalam pada itu Wai Ching menegaskan segala persiapan daripada segi fizikal dan mental telah dilaksanakan bagi memastikan misinya mengekalkan dominasi di pentas dunia tercapai.