fb fb fb fb fb

Luqman Hakim dipanggil sertai kem latihan Harimau Malaya hadapi Nepal

Penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin / FOTO FB Malaysia NT

KUALA LUMPUR, 11 November - Penyerang Negeri Sembilan FC, Luqman Hakim Shamsudin, dipanggil semula menyertai kem latihan Harimau Malaya menjelang aksi menentang Nepal pada perlawanan kelima Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2026, 18 November ini.

Pemain berusia 23 tahun itu akan mengisi kekosongan ditinggalkan pemain Kuching City FC, Jordan Mintah yang terpaksa meninggalkan kem atas faktor kesihatan.

“Luqman Hakim Shamsudin dipanggil menyertai kem latihan berpusat menggantikan Jordan Mintah,” menurut hantaran di Facebook rasmi pasukan kebangsaan Malaysia NT hari ini.

Kali terakhir Luqman beraksi bersama pasukan kebangsaan adalah ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada Mac 2022.

Skuad Harimau Malaya memulakan kem latihan pusat semalam dan akan berlanjutan hingga 17 November sebagai persiapan menghadapi Nepal pada aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE