fb fb fb fb fb

Azeem Fahmi bantu kuartet 4x100 Universiti Auburn ungguli emas di NCAA

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi membantu Universiti Auburn memenangi acara 4X100 meter lelaki di Kejohanan Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA) di Oregon, Amerika Syarikat.

Azeem bersama tiga lagi rakan sepasukan, Kanyinsola Ajayi, Dario Matau dan Makanakishe Charamba mencatatkan masa 38.03 saat.

Catatan itu melepasi masa terbaik musim mereka sebelum ini, 38.38 saat ketika saringan pada Khamis.

Universiti Louisiana State (LSU) ditempat kedua dengan catatan 38.21 saat manakala Universiti Houston yang mencatatkan 38.25 saat untuk gangsa.

Azeem yang juga pemegang rekod 100 meter kebangsaan dengan catatan 10.09 saat melakukan catatan terbaiknya musim ini 10.24 saat pada Kejohanan Olahraga LSU Invitational di Los Angeles, 27 April lepas.

Bagaimanapun, catatan tersebut masih jauh jika dibandingkan dengan kelayakan ke Paris yang memerlukan beliau mencatat 10 saat untuk layak secara merit dalam acara tumpuan itu.

Azeem akan menyertai beberapa kejohanan berturut-turut dimulai dengan Terbuka Malaysia pada 14 hingga 16 Jun ini, diikuti Terbuka Kazakhstan pada 23 dan 24 Jun.

Dia juga dijadualkan menyertai Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia pada 2 hingga 5 Julai depan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM