KUALA LUMPUR, 8 Jun- Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menyatakan rasa kecewa selepas kecundang buat kali pertama dalam kariernya di One Championship di Impact Arena, Bangkok, Thailand.
Kenyataan itu disampaikan melalui akaun Instagram miliknya.
Atlet muda berusia 18 tahun itu terpaksa akur di tangan jaguh berpengalaman dari Vietnam, Nguyen Tran Duy Nhat dalam kategori 'flyweight' pertarungan One 167 yang menyaksikan Johan tewas berdasarkan keputusan pengadil.
Ia adalah kekalahan pertama buat Johan selepas enam pertarungan sejak Februari tahun lalu sekali gus terlepas peluang meraih bonus AS$50,000 dolar Amerika.
Untuk rekod, kali terakhir Johan bertarung adalah pada 8 Disember tahun lepas yang menyaksikan dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares menerusi kemenangan KO dalam tempoh 36 saat di Bangkok.
Malah, Johan turut mempunyai rekod tersendiri dengan menumbangkan lawan dari Thailand, Padetsuk Fairtex juga menerusi KO di pertarungan ONE Friday Fights 6 pada Februari tahun lepas dalam tempoh 16 saat.