MELBOURNE, 18 Julai- Australia pada Selasa menarik diri daripada menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas meneliti bajet penganjuran sukan itu membabitkan kos yang besar.
Perdana Menteri Australia, Daniel Andrews berkata anggaran awal kos tersebut adalah AUS$2 bilion (AS$1.36 bilion) untuk mengadakan temasya itu, kemungkinan besar akan mencecah sekitar AUS$7 bilion yang disifatkan terlalu banyak.
"Saya telah berdepan pelbagai situasi rumit dan banyak keputusan yang sukar telah saya lakukan dalam perkhidmatan ini.
Secara jujurnya, peruntukan AUS$7 bilion bagi acara sukan, kami tidak bersetuju dengan itu," kata Andrews dalam sidang media.
“Saya tidak akan mengeluarkan wang dari hospital dan sekolah untuk menganjurkan acara yang tiga kali ganda kos yang dianggarkan daripada tahun lalu.
"Sukan tidak akan diteruskan di Victoria pada 2026. Kami telah memaklumkan pihak berkuasa Sukan Komanwel mengenai keputusan kami untuk menamatkan kontrak," tambahnya.
(Pembukaan Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England pada tahun 2022/AFP)
Acara berkenaan sepatutnya diadakan di beberapa hab serantau di negeri itu termasuk Geelong, Ballarat dan Bendigo dengan masing-masing mempunyai perkampungan atlet sendiri.
Victoria adalah pembida eksklusif untuk Sukan 2026, namun badan penganjur sukan telah maklum berhubung keputusan rasmi negara itu.
Lazimnya, penyertaan sukan antarabangsa itu melibatkan lebih 4,000 atlet dari 54 negara Komanwel, hampir kesemuanya adalah bekas wilayah Empayar British.
Penganjuran sukan terakhir adalah pada 2022 yang diadakan di Birmingham, England.- AFP