fb fb fb fb fb

Australia belasah India, gondol pingat emas acara hoki Sukan Komanwel

(Pasukan hoki lelaki Australia meraikan kemenangan emas di Sukan Komanwel 2022/AFP)

BIRMINGHAM, 8 Ogos - Australia berpesta gol menumpaskan India 7-0 dalam perlawanan akhir hoki lelaki untuk mengekalkan rekod sempurna mereka di Sukan Komanwel tahun ini dan menamatkan misi pemburuan pingat emas dengan bergaya.

Juara bertahan enam kali itu tidak menunjukkan belas kasihan kepada pasukan lawan dalam cuaca panas terik pada hari terakhir aksi sukan di sini.

Australia telah memenangi setiap pingat emas acara hoki lelaki sejak hoki menyertai temasya Sukan Komanwel pada 1998.

Australia yang mendominasi permainan mendahului 2-0 selepas suku pertama dan dua gol daripada Jacob Anderson membantu mereka mendahului 5-0 selepas 30 minit.

Nathan Ephraums menjaringkan gol keduanya untuk menjadikan kedudukan 6-0 dan Flynn Ogilvie melengkapkan kemenangan pada awal suku akhir.

Penyerang Australia, Blake Govers berkata pasukannya mempamer persembahan terbaik mereka pada perlawanan akhir.

“Itulah yang kami banggakan,” katanya. "Sungguh mengagumkan untuk melakukannya tanpa terlalu banyak 'masalah jantung'.

"Kami perlu bermain dengan yakin dan bermain ke hadapan dan meneruskan permainan dari awal, dan itulah yang kami lakukan. Itulah perbezaan antara perlawanan separuh akhir menentang England dengan perlawanan akhir berhadapan India," katanya.

Negara tuan rumah, England menewaskan Afrika Selatan 6-3 untuk meraih gangsa. -AFP

(Australia menumpaskan India 7-0 dalam perlawanan akhir hoki lelaki untuk mengekalkan rekod
sempurna mereka di Sukan Komanwel/AFP)

Media Baharu