fb fb fb fb fb

AUG 2024: Mohammad Firdaus dedikasi emas buat arwah bapa

Atlet silat, Mohammad Firdaus Mohd Israj memenangi pingat emas di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024.

MALANG (Indonesia), 5 Julai - Atlet silat Mohammad Firdaus Mohd Israj menghadiahkan pingat emas dimenangi di Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 kepada arwah bapanya yang meninggal dunia pada Ogos 2022, akibat sakit buah pinggang.

Kemenangan itu juga membolehkan Firdaus dapat menebus kekecewaan edisi lepas di Ubon Ratchathani, Thailand yang menyaksikan beliau meraih gangsa susulan kehilangan fokus selepas dikhabarkan mengenai keadaan kesihatan bapanya ketika itu.

Pada aksi final di Universitas Muhammadiyah Malang hari ini, atlet kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berjaya menundukkan pencabar terkuatnya dari Thailand, Soradet 56-28 dalam acara silat tanding lelaki.

“Pingat emas ini saya dedikasikan kepada arwah ayah saya. Hari pertama saya tiba di AUG Thailand dulu, itu kali pertama ayah dimasukkan ke hospital...saya sudah tidak fokus kerana memikirkan ayah saya sakit.

“Ayah saya meninggal dunia semasa saya beraksi di Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT) kerana sakit buah pinggang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengenai perlawanan hari ini, Mohammad Firdaus mengakui perlawanan begitu sengit kerana pencabarnya mempunyai kekuatan sepakan namun taktikal digunakan banyak membantu beliau menundukkan lawannya.

Kontinjen negara setakat ini sudah mengutip 29 pingat emas, 33 perak dan 53 gangsa untuk berada di kedudukan ketiga carta pungutan pingat AUG 2024 di belakang Indonesia dan Thailand.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI