UBON RATCHATHANI, 1 Ogos - Skuad memanah berjaya membolot tiga pingat emas dalam acara recurve pada temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG).
Pada aksi sebelah pagi yang berlangsung di Stadium Utama, Kampus Ban Yang Noi, Trio recurve wanita negara, Syaqiera Mashayikh, Nuramalia Haneesha Mazlan dan Nur Afisa Abdul Halil terlebih dahulu menghadiahkan emas pertama dalam acara berpasukan wanita.
Mereka berjaya menundukkan wakil tuan rumah dengan keputusan 6-2.
Syaqiera turut merangkul satu lagi pingat emas dalam acara recurve campuran, berpasangan bersama Ahmad Afiq Akhiroman dengan menewaskan Thailand 5-3.
Emas ketiga dimenangi Muhamad Zarif Syahir dalam kategori recurve lelaki Individu.
Manakala di Stadium Badminton, UBRU Kampus Utama, skuad negara berjaya meraih dua pingat emas.
Emas berkenaan diperoleh menerusi beregu wanita negara, Yap Rui Chen-Teoh Lexuan dan acara perseorangan lelaki oleh Faiz Rozain.
Di Sunee Tower pula, Skuad lawan pedang turut menyumbang 1 pingat emas menerusi acara Foil berpasukan lelaki.
Sementara itu, skuad memanah compound negara gagal merealisasikan sasaran 5 pingat emas buat kem memanah apabila hanya meraih 1 pingat pada aksi sebelah petang.
Emas tunggal skuad memanah compound hadir menerusi acara berpasukan wanita.
Skuad negara berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Thailand dengan keputusan 229-227.
Selepas itu, skuad negara gagal menambah koleksi pingat dalam acara compund lelaki berpasukan, compound campuran, compound individu lelaki dan wanita.