fb fb fb fb fb

Atlet berdarah kacukan mungkin dipertimbang ke Paris 2024

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Atlet berdarah kacukan dari luar negara yang mempunyai prestasi baik, mungkin akan dipertimbangkan untuk mewakili kontinjen Malaysia memburu pingat di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Program ‘Gold Paris 2024’ Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ia merupakan antara perkara yang dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa berkenaan hari ini.

“Jawatankuasa akan mengambil pendekatan terbuka, dalam kemungkinan mengenal pasti atlet yang berpengkalan di luar negara yang mempunyai pertalian keluarga dan asal usul dari Malaysia, yang mempunyai prestasi terkini selaku pesaing di peringkat dunia,” katanya menerusi kenyataan pada malam ini.


(Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Program ‘Gold Paris 2024’ Tan Sri Mohamad Norza Zakaria / Foto Bernama)

Sebagai contoh, pemain berdarah kacukan seperti Brendan Gan, Matthew Davies, Darren Lok dan Corbin Ong, sudah lama beraksi bersama skuad Harimau Malaya, manakala pemain kelahiran Gambia Mohamadou Sumareh, Guilherme de Paula (Brazil) dan Liridon Krasniqi (Kosovo) turut menyarung jersi kebangsaan sebagai pemain naturalisasi.

Sementara itu, jawatankuasa itu juga telah membuat keputusan untuk memperketatkan kriteria pemilihan atlet ke pentas terunggul dunia itu, dengan memberi tumpuan khusus kepada jenis sukan, acara dan atlet yang berupaya menjelmakan kilauan pingat emas di Paris 2024.

“Antara kriteria pemilihan ke Program ‘Gold Paris 2024’ yang dibincangkan ialah mereka yang pernah memenangi pingat di Tokyo 2020 dan menduduki kelompok ranking 10 terbaik dunia. Pencapaian memenangi pingat pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia turut menjadi asas pemilihan, serta memiliki prestasi terkini yang meyakinkan,” katanya.

Mohamad Norza berkata, perkhidmatan sokongan terbaik seperti kejurulatihan, program latihan dan pendedahan pertandingan peringkat antarabangsa serta bantuan dari aspek sains, teknologi dan perubatan sukan akan disediakan kepada kumpulan atlet yang terpilih ke program itu dalam mengejar impian emas pertama Olimpik.

Majlis Sukan Negara (MSN) juga telah diminta untuk melihat potensi menggunakan kepakaran teknikal yang dapat menggemblengkan program latihan dan perkhidmatan sokongan terbaik, termasuk dalam aspek ‘performance lifestyle’ untuk memastikan atlet dapat pamer prestasi terbaik dan semangat juang tinggi.

“Pada masa sama, jawatankuasa akan turut memberi tumpuan kepada perkembangan dan keberkesanan beberapa projek penyelidikan, khususnya yang diterajui Institut Sukan Negara (ISN), yang bermatlamat membantu mempertingkat prestasi atlet dalam Program ‘Gold Paris 2024’ ini,” tambahnya.

Beliau berkata MSN akan menganjurkan Bengkel Perancangan Program ‘Gold Paris 2024’ pada 24 Okt ini bersama wakil persatuan, jurulatih dan atlet, dengan hasil dapatan bengkel bakal dibentangkan pada mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemantau pada November depan.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Faedzal Md Ramli dan legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei, manakala beberapa ahli tambahan dijangka akan dilantik nanti.- BERNAMA

Media Baharu